9 Nikmat Anugerah Allah Kepada Manusia

Mendapat kemenangan yang nyata sebagaimana tersebut dalam surah Al-Fath ayat : 1-12.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata,

Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayat ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).
Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya).



 (Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Allah melakukan yang demikian) supaya Dia memasukkan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka dan adalah yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka);

Dan supaya Dia menyeksa orang-orang munafik lelaki dan perempuan dan orang-orang musyrik lelaki dan perempuan, yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk (bahawa Dia akan mengecewakan RasulNya). Atas merekalah tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh peredaran zaman dan (selain itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka Neraka Jahanam; sedang Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
Dan Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menyeksa orang-orang yang derhaka) dan Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.




Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya) dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).
(Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan RasulNya dan supaya kamu kuatkan agamaNya serta memuliakanNya dan supaya kamu beribadat kepadaNya pada waktu pagi dan petang.
Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad, untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.


Orang-orang “A’raab” (kaum Arab Badwi) yang ketinggalan tidak turut (bersama-sama denganmu ke Hudaibiyah), akan berkata kepadamu (wahai Muhammad): Kami telah dihalangi oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami; oleh itu, pohonkanlah ampun kepada Allah untuk kami. Mereka berkata dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Katakanlah (wahai Muhammad: Jika demikian sebab ketinggalan kamu) maka adakah sesiapa yang berkuasa mempertahankan kamu daripada terkena atau menerima sesuatu ketetapan dari Allah jika Dia tetapkan kamu ditimpa bahaya atau beroleh manfaat? (Tidak ada sesiapapun dan apa yang kamu katakan itu bukanlah menjadi sebab) bahkan Allah adalah Maha Mendalam pengetahuanNya tentang sebab ketinggalan yang kamu lakukan itu (dan Dia akan membalasnya).


(Itu bukanlah sebabnya) bahkan sebabnya kamu telah menyangka bahawa Rasulullah dan orang-orang yang beriman (yang pergi berperang akan binasa semuanya dan) tidak akan kembali lagi kepada anak isteri dan keluarga masing-masing selama-lamanya dan sangkaan yang demikian itu diperelokkan (oleh Syaitan) di dalam hati kamu (serta menerimanya) dan lagi kamu telah menyangka berbagai-bagai sangkaan yang buruk (terhadap agama Allah yang dibawa oleh RasulNya) dan (dengan itu) menjadilah kamu kaum yang rosak binasa.

Diberi kemahiran tertentu dalam melaksanakan tugas, seperti yang tercatat dalam surah Yusuf ayat : 6


Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu dan akan mengajarmu takbir mimpi serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub sebagaimana Dia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Memenuhi keperluan, dinyatakan dalam surah An-Nahl ayat : 81 dan Surah Ibrahim ayat : 34

Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya: Benda-benda untuk berteduh dan Dia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung dan Dia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Dia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya.


Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.

Dikurniakan Kitab dan Hikmah serta pengajaran, dalam surah Al-Baqarah ayat : 231.



Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh ‘iddahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (ruju’) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik .Dan janganlah kamu pegang mereka (ruju’ semula) dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia mengniaya dirinya sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah ni’mat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu kitab (Al-Qur’an) dan ilmu hikmat, untuk memberikan pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu

Dikurniakan Rasul untuk mengajar ayat-ayat Allah SWT dan apa-apa yang belum diketahui, disebut dalam surah Al-Baqarah ayat : 150 - 151.


Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka dan takutlah kamu kepadaKu (semata-mata) dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayat (mengenai perkara yang benar).


(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat) dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.

Selamat daripada keganasan manusia yang kuat, surah Ibrahim ayat : 6.


Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa Dia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.


Pemberian rezeki dan keturunan yang baik, surah Fathir ayat : 3 dan surah An-Nahl : ayat 72.

Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Dia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembahnya)?

Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: Anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?

Belayar dilaut, surah Luqman ayat : 31.


Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.

Islam sebagai agama yang diredhai, surah Al-Maidah ayat : 2.


Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Mekah untuk korban) dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haram, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci) dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidilharam itu, mendorong kamu menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).



Membentuk Kecerdasan Melalui Al-Quran. m/s : 125.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

4 Ciri-ciri Orang Yang Berpandangan Jauh (Futuristik)