Jumaat, 31 Disember 2010

Ke Gereja Untuk Ke Masjid



Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah!” saya melafazkan syahadah.
Laura mengulang bilah-bilah kesaksian itu dengan penuh kesungguhan.
“Alhamdulillah. Welcome back, sister!”, saya menadah tangan mengucap syukur.
Laura menangis.
Bukan sedih.
Tetapi riak wajahnya menampaknya suatu kelegaan yang besar.
Pagi itu Laura telah mengisytiharkan keIslamannya di hadapan saya dan beberapa warga masjid, termasuk beberapa muslimat yang saya jemput untuk meraikan Laura.
Thank you, Imam. I feel so blessed that no word can describe my feeling right now. I can’t believe that I am now a Muslim. Finally!” kata Laura.
Saya sendiri berasa sebak dan terharu.
Selepas beberapa kali berutus soal jawab melalui telefon, pagi itu Laura nekad untuk melafazkan syahadahnya. Saya mengalu-alukan ‘kepulangan’ beliau dengan ucapan ‘Welcome back‘, kerana mahu mengangkat hakikat yang diterangkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam bahawa setiap insan itu dilahirkan fitrah.
Muslim by nature.
JALAN DATANG KEPADA ISLAM
“Izinkan saya bertanya, apakah yang mengundang nekad kamu untuk memeluk Islam pagi ini?” saya cuba mendapatkan cerita. Ia perkara biasa setiap kali ada saudara baru yang memeluk Islam. Saya suka meneliti kisah-kisah mereka kerana ia berguna untuk muhasabah dakwah saya.
“Imam pun tahu yang saya memang sudah agak lama cenderung kepada Islam, bukan?” tanya Laura kepada saya.
Saya mengangguk.
Semenjak lebih 6 bulan, Laura sudah berhubung dengan saya. Beliau merupakan pelajar Biologi di universiti berdekatan. Kajian-kajian Laura tentang hal-hal berkaitan evolusi membawa beliau dekat kepada Islam. Beliau terperangkap di antara peperangan Creationist Christian dan Evolutionist yang sering bernada Atheist.
Tetapi Laura tidak punya kekuatan untuk melakukan hijrah.
Banyak perkara yang dipertimbangkannya, terutamanya aspek sosial. Sanggupkan dirinya melakukan perubahan dan bagaimanakah penerimaan keluarga dan rakan… ini merupakan isu besar buat Laura.
Saya mengambil inisiatif menemukan Laura dengan Hannan, iaitu isteri kepada majikan saya yang juga merupakan seorang Irish Muslim. Lanjutan daripada itu, Laura ditemukan dengan beberapa orang lagi Irish Muslim, yang meyakinkan beliau bahawa beliau tidak bersendirian dengan hijrah yang bakal dilakukannya nanti.
“Tetapi, saya mendapat kekuatan itu akibat peristiwa malam tadi!” kata Laura.
“Apa yang berlaku?” saya ingin tahu.
“Malam tadi kami sekeluarga ke gereja untuk menghadiri mass bersempena dengan Hari Ibu. Ajaib sekali, ceramah yang disampaikan oleh paderi di gereja itu sungguh mengesankan. Saya asyik mendengarnya malah ahli gereja yang lain juga begitu mengaguminya” cerita Laura.
“Selepas selesai majlis, seperti biasa paderi berdiri di pintu gereja, bersalaman dengan kami semua. Apabila tiba giliran, saya mengucapkan tahniah kepadanya atas ceramah beliau yang sungguh hebat” sambung Laura.
“Wah bagus begitu. Jarang sekali Imam masjid menghargai mereka yang hadir ke masjid sedemikian rupa. Saya juga harus mengamalkannya!” saya mencelah.
Laura dan hadirin yang lain ketawa.
“Apa isi ceramahnya?” saya mahukan kepastian.
“Oh, ceramah malam tadi ialah tentang hubungan ibu dengan anak, dari kandungan hingga penyusuan dan kepentingan menyusukan anak sendiri” kata Laura.
Saya mengangguk. Jemaah yang lain juga khusyuk mendengar.
“Lalu saya beritahu paderi tersebut: tahniah, kerana ceramah awak yang sangat bagus. Cuma, saya ingin tahu, pernahkah tuan membaca apa-apa dari Quran, buku orang Islam, tentang tajuk yang dibentangkan tadi?” cerita Laura lagi.
Saya khusyuk mendengar cerita Laura. Beliau memang pengunjung setia gereja. Tetapi aturan Allah sedikit berbeza. Setiap kehadirannya ke gereja, menjadikan beliau semakin hampir kepada masjid.
“Paderi itu membisikkan ke telinga saya bahawa sebenarnya beliau mengambil keseluruhan inti ceramahnya daripada al-Quran! Beliau tidak bertemu dengan keterangan sebaik keterangan al-Quran tentang topik tersebut” tegas Laura.
“Allah!” saya mengurut dada.

alanaam114.jpg


“Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu” [Al-An'aam 6: 114]
“Saya sangat terkejut dengan statement beliau. Hampir rebah saya dibuatnya. Apabila saya kembali ke rumah, emak dan ayah masih lagi bercerita tentang kehebatan ceramah paderi di gereja tadi. Saya beritahu mereka apa yang paderi itu sendiri nyatakan kepada saya” sambung Laura.
“Bagaimana reaksi keluarga anda?” saya bertanya.
“Mereka sangat terkejut dan emak saya ketakutan kerana dia tahu kecenderungan saya kepada Islam” jawab Laura.
“Saya sudah lama meyakini kebenaran Islam. Kata-kata paderi itu malam tadi telah memberikan satu-satunya yang saya perlukan untuk menjadi Muslim, iaitu kekuatan. That’s it. I am now a Muslim and I will declare my faith tomorrow!” kata Laura dengan penuh yakin.
Beliau menganggap dirinya telah menjadi Muslim semenjak malam tadi. Tetapi beliau datang ke masjid agar keIslamannya disaksikan oleh pihak masjid untuk maslahah-maslahah yang sedia maklum.
SECEBIS KISAH
Itulah kisah daripada siri peristiwa saya menguruskan proses menerima Islam oleh warga Ireland selama saya bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Northern Ireland.
Kebanyakan mereka yang memeluk Islam di Ireland, melakukannya hasil kajian dan pembacaan sendiri. Lazimnya, saya hanya membantu menyelesaikan beberapa isu berbaki sebelum mereka mengambil keputusan untuk memeluk Islam.
Sebagai seorang Muslim yang juga Imam di masjid tersebut, tentu sahaja saya bergembira dan bersyukur dengan perkembangan ini, khususnya selepas insiden 11 September 2001. Namun apa yang lebih menggembirakan saya, ialah hakikat integrasi, keterbukaan dan komitmen kepada dialog menjadikan usaha dakwah subur di bumi Eropah.

Saya yakin, jika umat Islam di negara ini memperbaiki identiti mereka agar lebih mudah didekati, bercakap dengan rasional tanpa dikaburkan oleh sentimen dan emosi, maka jalan untuk penyebaran Islam akan terbuka dengan lebih luas.

Kita tidak perlu terlalu terburu-buru mahu mengIslamkan sesiapa, sebaliknya harus banyak menumpukan perhatian kepada menerangkan tentang Islam secara baik kepada mereka yang mencari. Tumpuan kepada berhujah dan berdakwah untuk menyebarkan kebaikan serta kebenaran adalah lebih sejahtera daripada usaha mengIslamkan non Muslim secara tergesa-gesa seolah-olah urusan itu demi kepentingan kita, dan bukannya dia, dan ALLAH.

Malah kita juga harus memberi galakan agar masyarakat Kristian kembali ke gereja. Biar Buddha dan Hindu kembali rajin ke kuil mereka. Selain mengembalikan fungsi agama pada membaikkan manusia, menghargai agama, menjadikan mereka semua setapak lebih hampir kepada Islam. Materialisma yang menjadi anutan manusia hamba duit dan harta, sangat membutakan kehidupan seperti kisah Sahib al-Jannatain di dalam Surah al-Kahf ayat 32 hingga 46.

Jika mereka menerima Islam dan terbuka hatinya untuk memeluk Islam, maka setinggi-tinggi syukur kita lafazkan.

albaqarah256.jpg


“Tiada paksaan di dalam agama” [Al-Baqarah 2: 256]


Jika mereka tidak memeluk Islam, penerangan dan hujah yang disampaikan melalui dakwah dan pendidikan tetap berguna menjauhkan mereka daripada permusuhan membuta tuli terhadap Islam dan seterusnya lebih ‘dekat’ dengan kita, biar pun tidak atau belum bersama.
Kira-kira sebulan selepas memeluk Islam, Laura telah mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga dengan Ali, seorang sahabat yang berasal dari Libya. Saya telah mengurus dan mengakadkan nikah mereka dengan nasihat agar Ali terus membimbing Laura dengan nasihat agama dan wasiat iman.
Berikan komitmen kepada dakwah, itu tugas yang kita warisi daripada Rasulullah..
Wa saLlallahu ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘alaa aalihi wa sahbihi wa sallam. Walhamdu liLLaahi Rabb al-’Aalameen.

Sumber:www.saifulislam.com 

Khamis, 30 Disember 2010

Peringatan Buat Diri

Wahai diri,
jangan engkau merasa riak,
dengan kelebihan yang dianugerahkan kepadamu,
ingatlah akan firman Tuhan,
"Riak itu umpama tanah diatas batu licin yang ditimpa hujan"
sia-sia amalanmu angkara riak,
jangan engkau hampakan dirimu
bila berjumpa Tuhan kelak.

Wahai diri
ingatlah akan asal usul kejadianmu,
bermula dari seorang lelaki benama Adam dan wanita bernama Hawa,
jangan engkau berjalan di muka bumi Tuhan ini
dengan lagak bongkak,sombong lagi angkuh,
ingatlah engkau berasal dari setitis air yang hina.

Wahai diri,
ingatlah hakikat hidup ini,
kehidupan hari ini cuma sementara sahaja,
kita kan kembali mengadap Sang Pencipta,
kita akan dipersoalkan dengan tiap amanah yang diberi,
ingatlah kita didatangkan ke dunia ini
sebagai khalifah Allah dimuka bumi,
membawa amanah yang tak sanggup
dipikul oleh makhluk yang lain.

Wahai diri,
sampaikan risalah tuhan semampumu,
semoga engkau tidak berada dalam kerugiaan,
"Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian
kecuali orang yang beramal soleh dan saling nasihat-menasihati
dengan kebenaran dan juga kesabaran"
Dan wahai diri ingatlah,
jangan engkau berkehendakan kebaikan hanya keatas orang lain
tapi tidak pada dirimu sendiri,
jangan sampai kelak engkau merana meratapinya,
ingatlah pesan Tuhan
"patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan
sedangkan kamu lupa akan dirimu sendiri(Al-Baqarah:44)"

Wahai diri,
ingatlah akan pesan rasulmu,
ingatlah perjuangannya menegakkan kalam Allah,
ingatlah akan pesannya supaya kita mendirikan solat,
kerana itulah bezanya kita muslim atau musyrik,
ingatlah pesan rasul supaya kita berpegang teguh
kepada Al-Quran dan Al-sunnah supaya kita tidak tersesat.

Wahai diri
ayuhlah kita bangkit,
bangkit dari belengu kemalasan,
belengu kealpaan,
belengu hawa nafsu yang tak pernah puas,
bangkitlah wahai diri!!!

Isnin, 27 Disember 2010

5 Bulan Menjelang Penikahan,Membawanya Kepada Islam


Lima bulan sebelum hari pernikahannya, Karen Meek terkejut mendengar pengakuan Eric, tunangannya. Eric mengatakan bahawa ia sudah menjadi seorang Muslim. Pengakuan itu bagai petir di siang hari buat Karen yang seperti warga Rusia lain, tidak menganut agama apapun atau lebih dikenali sebagai ateis.

"Saya fikir dia (Eric) sudah mengalami cuci otak. Tiba-tiba saja ia berhenti minum minuman beralkohol. Ia sembahyang lima waktu sehari dan tidak mahu lagi makan daging babi," cerita Karen tentang perubahan perilaku tunangannya.

Eric yang dahulunya penganut Kristian Baptis, tapi kemudian menjadi seorang atheis, selama berbulan-bulan mempelajari Islam tanpa memberitahu Karen, hingga akhirnya ia memutuskan menjadi seorang Muslim.

Meskipun terkejut, Karen tetap ingin meneruskan rancangan pernikahannya dengan Eric. Karen lalu mencari pelbagai rujukan, bermula dari buku sampai video tentang Islam, untuk memahami agama baru yang dianut calon suaminya. Tapi ia sama sekali tidak berharap akan masuk Islam.


"Saya membesar dengan fikiran bahawa agama adalah sesuatu yang bodoh. Saya tidak percaya adanya Tuhan. Saya tidak memikirkan bagaimana dunia ini dicipta, dan terus terang, saya tidak peduli," ujar Karen.


Namun Karen mengakui bahawa agama Islam memberikan penjelasan paling logik tentang Tuhan dan kejadian alam semesta dan sukar bagi Karen membantahnya.

Karen akhirnya berkahwin dengan Eric. Ia masih terus mempelajari Islam dan untuk pertamakalinya ia cuba menunaikan sembahyang, saat suaminya bekerja di pejabat. Ia belajar sembahyang sendiri dari sebuah buku.

"Sampai pada titik ini, saya melakukan segala sesuatunya dengan diam-diam. Saya tidak cerita pada Eric. Saya tidak mahu memeluk agama hanya kerana suami saya memeluk sebuah agama. Saya ingin mencari jalan saya sendiri," ungkap Karen.

"Kerana berlatar belakang atheis, saya lebih mudah menerima Islam berbanding seorang Kristian, kerana dalam hal ini saya tidak perlu melepas agama apapun," sambungnya.

Karen dan suaminya mulai sering melakukan pertemuan dengan komuniti Muslim untuk belajar Al-Quran. Hingga akhirnya, Karen membulatkan tekad untuk mengikuti jejak suaminya memeluk agama Islam. Karen pun mengucapkan dua kalimah syahadah dan rasmi menjadi seorang muslimah.

Tapi pilihan Karen membuat orang tuanya kaget. "Suatu hari, ia datang dengan mengenakan gaun panjang dan jilbab. Saya terkejut dibuatnya," kata ayah Karen, Ray Alfred.

Alfred mengaku merasa asing melihat anak perempuannya ketika itu dan dia merasa khuatir dengan keselamatan Karen saat terjadi serangan 11 September 2001 di AS.

"Anda ingin mencintai anak anda, tapi ketika mereka melakukan sesuatu yang asing bagi anda. Hal ini sangat sulit," ujar Alfred, "Saya akan memberikan apa saja asalkan ia tidak memeluk agama itu (Islam)."

Ibu Karen mengungkapkan komentar serupa, yang terus terang mengatakan bahawa dia tidak suka dengan tudung yang digunakan puterinya. "Karen adalah seorang gadis cantik dengan rambut yang indah," kata Jane Barret.

Karen memahami kerisauan kedua orang tuanya setelah mendengar dia sudah menjadi seorang muslimah dan mengenakan busana muslim. Keren sendiri mengaku dia mengambil masa berbulan-bulan sebelum dia memutuskan untuk berjilbab.

"Saya hanya memakai tudung jika pergi ke tempat-tempat yang saya rasa tidak akan ada orang yang mengenal saya," ujar Karen sambil tertawa.

Tapi sekarang, Karen selalu mengenakan jilbab kemanapun dia pergi, termasuk ke tempat kerjanya di mana dia bekerja sebagai kakitangan akauntan di sebuah rangkaian restoran.

Karen berkata, memeluk Islam telah membuatnya melihat kehidupan dengan cara pandang yang baru. "Dari seorang yang tidak percaya Tuhan menjadi orang yang percaya Tuhan, rasanya sungguh luar biasa. Islam membuka mata saya terhadap banyak hal yang selama ini saya abaikan. Terutama, bahawa kehidupan adalah sebuah kurnia," kata Karen menutup kisahnya.


Sumber:Http://zahrifalimin.blogspot.com

Ahad, 26 Disember 2010

Hindari Perangkap Panjang Angan-angan 2


Angan-angan dan cita-cita itu 2 perkara yang berbeza,angan-angan perlu dihindari kerana angan-angan adalah perbuatan yang tidak bertapak di bumi nyata.Dan cita-cita itu, perlu ada untuk pergi lebih jauh.Cita-cita walaupun masih belum wujud dan tercapai tetapi ia realiti dan terancang.

Sesuatu itu,bagi saya dianggap cita-cita apabila ia mampu dijelmakan dari pemikiran dan keyakinan dalam hati ke dalam bentuk penulisan yang boleh ditatap,kemudian ada tindakkan untuk melaksanakan apa yang dirancang,walaupun ia mungkin tidak berjaya tapi ia sesuatu yang nyata.Tidak berjaya kerana, mungkin itu bukan sesuatu yang terbaik yang Allah tetapkan untuk kita.

Kali ini saya ingin berbicara kenapa angan- angan panjang perlu di hindari:

Meninggalkan Taat Dan Menjadi Pemalas Serta Bertangguh-tangguh Dalam Berbuat Taat

Seseorang yang dijangkiti virus panjang angan-agan akan membuang masanya bergitu saja tanpa sebarang aktiviti yang bermanfaat,ia tergelam dalam dunia tipu daya yang dicipta oleh pemikirannya yang telah dibisikkan oleh syaitan......bila ia di jangkiti virus ini,lebih kurang beginilah suara hatinya

"Nantilah,aku akan buat lepas ni,banyak masa lagi ni....perkara itu takkan lepas dari aku punya"

Sesiapa yang mentaati angan-angan,nescaya angan-angan itu memburukkan amalannya (Daud al-Tho-i)

Angan-angan itu memutuskan(merompak) segala kebaikan (Yahya B Muaz RA)

Meninggalkan Taubat
Disebabkan oleh angan-angan panjang bahawa dia masih mempunyai masa yang masih panjang,melengahkan seseorang itu dari melakukan taubat atas kesilapannya dan mungkin terus meninggalkan taubat.

Kalaupun dia ingat untuk bertaubat,dia akan bertangguh dan akan berkata:

"nantilah aku akan bertaubat"

akhirnya mati dalamkeadaan berdosa....Nauuzubillah.....

Tamak Mengumpulkan Harta Benda Dan Berasa Bimbang Dengan Dunia Serta Melupakan Akhirat

Hati Menjadi Sesat Dan Lupa Kepada Akhirat

Apabila ia berangan-angan yang usianya masih panjang,ia lupa akan mati,dalam bahasa kasarnya tak ingat kubur.

Kata saidina Ali: Perkara yang amat aku takuti berlaku keatas kamu panjang angan-angan dan mengikut hawa nafsu.

Jumaat, 24 Disember 2010

Puisi Buat Insan.......

Insan.....
sukar untuk ku jelaskan,
apa yang ada dihati ini
dengan seupaya hikmah
ingin kunyatakan
apa yang terhimpun dalam hati

Insan.....
usah engkau harapkan
kesempurnaan yang mutlak
dari diri ini
akuilah hakikat yang tersurat
aku bukan Siti Khadijah
mahupun permata Siti Fatimah
aku bukan Siti Aisyah
mahupun ummul mukminin yang lain
bukan juga Rabi'atul Adawiyah
wanita suci yang terpuji
juga tidak mencapai martabat
Siti Maryam,Masyitah,Asiah,Sumaiyah

Insan.....
Mengertilah dengan waras keislaman
aku hanyalah wanita akhir zaman
yang masih cuba mempertahankan
maruah dan kesucian diri
dalam mengharungi kegawatan masa kini
yang serba palsu dan menjijikkan
dengan kemampuan diri
yang tinggal sekuman cuma

Insan....
demi kerana-Nya semata-mata
tidak kutagih apa-apa dari-mu
cuma kupohon sebuah pengertian
bahawa jauh di sudut hatiku
sedang berjuang mencari nur ilahi

Jadi,fahamilah diri ini
insan kerdil yang sedang mencari
mencari nur ilahi..........

Khamis, 23 Disember 2010

Mahu Berubah


Memperkatakan tentang perubahan bukanlah satu perkara yang payah.Bergitu mudah untuk memperkatakannya tetapi bagaimana dengan praktikalnya,adakah ia juga mudah? tapi walau bagaimanapun kehidupan manusia memerlukan perubahan dari semasa ke semasa, dari buruk ke baik, dari baik kepada lebih baik. Orang yang hidupnya tiada sebarang perubahan,tidak berubah sebenarnya atau boleh dikatakan sebagai bangkai bernyawa.kasar bunyinya tapi benarkan...ke tak betul?Orang yang hidupnya hari ini lebih baik dari semalam adalah orang yang beruntung dan orang yang hidupnya hari ini lebih buruk dari semalam adalah celaka. macam selalu dengar je ayat tu kan. Tapi sejauh mana kita menghayatinya?


Mudahkah mahu berubah?


Jawapanya bukan mudah atau tak mudah tapi mahu atau tak mahu sebenarnya.Memang tak dinafikan untuk berubah bukan mudah.Perubahan memerlukan pengetahuan(tahu apa yang kita mahu),kemahuan yang bersungguh-sungguh bagi menwujudkan kemampuan untuk berubah.Perubahan mesti lahir dari hati bukan dari pemikiran semata-mata.Perubahan tak seindah impian atau agan-agan indah kerana ia memerlukan pergorbanan dan kesungguhan.


Mahukah kita berubah?


Ya mahu,tapi bolehkah kita berubah kalau hanya dengan mengeluh dan mengatakan "aku ingin berubah" tetapi tiada sebrang inisiatif diambil untuk membuat perubahan.Natijahnya kita masih ditakuk lama.Terpulanglah pada kita mahu berubah atau tidak.Tuhan takkan ubah nasib kita kalau kita tak nak ubah nasib kita sendiri.


Bagaimana mahu berubah?Langkah apa yang patut diambil?


Mahu berubah? kenalilah dirimu.siapa kita? dari mana kita datang?kemana kita kan pergi dan kenapa kita disini(dunia).Jika kamu kenal diri kamu, kamu akan kenal Tuhanmu.Inilah persoalan yang sering kali ditanya bila kita ingin melakukan perubahan........bagaimana kalu kita tak kenal diri sendiri.Hah...tak kenal diri sendiri, ada ke orang yang macam tu?Anda pulak bagaimana anda begitu kenal dengan diri anda ?fikir-fikirkanlah.


Mahu berubah? mesti tahu apa yang anda mahu. mengikut pendapat, ramai orang gagal atau tak berjaya dalam membuat perubahan atau apa saja kerana dia tidak tahu apa yang dia mahu atau boleh dikatakan matlamat hidup yang tak jelas.Anda tahu apa yang anda mahu dalam hidup anda?


Langkah awal ke arah perubahan


Mahu tahu?

Bacalah hehe....jangan serius sangat cool....cool.


Untuk berubah perubahan itu mesti bermula dari HATI.Jagalah hati jangan engkau kotori.Hatilah kunci segala perubahan....ingat jangan buat lupa hati kuncinya.Kemudian apa ya...hmm... Ikhlaskan niat kerana Allah semata-mata tiada selainNya.Sematkan dalam hati.kita berubah kerana Allah.InsyaAllah, kita takkan goyah walaupun ada yang memandang rendah akan perubahan diri kita, atau yang memperlekehkan kita "ah berubah sekejap je tu, lepas ni'setan' lah balik".Biarkan jangan perdulikan mereka,kuatkan iltizam kita untuk berubah.Anggap saja kata-kata itu sebagai cubaan untuk menguji kesungguhan kita untuk berubah.


Seterusnya apa ya...Luahkan keinginan kita untuk berubah pada teman kita.Moga-moga dia dapat memberi nasihat dan peringatan buat kita.InsyaAllah teman yang baik teman yang menasihati bila kita memerlukan.


ooppss....sebelum saya terlupa, nak berubah ni tak perlu tergesa-gesa.Kita buat perubahan secara berperingkat,langkah demi langkah.Tak perlu tukar kehidupan kita 360 darjah dalam sekelip mata.Perubahan sikap memerlukan masa.Ambil masa, jangan gopoh nak ubah diri kita.Janganlah hari ini semangat berkobar-kobar nak berubah,esok terus berubah 360 darjah lepas tu semangat kendur,kembali ke asal balik.Lepas tu mula lah frust sebab misi perubahan tak berjaya.Lepas tu(asyik lepas tu je...)siap boleh cakap" malas nak fikir pasal berubah-rubah,malas nak berubah-rubah,takde maknernya" hah...ada ke orang macam tu? jangan la wei,perubahan kenalah berstrategik .jangan cepat putus asa.


Kita sambung langkah yang seterusnya,apa dia ya?ha penting ni penting kalau nak berubah kena ada yang ni kalau takde yang ni takde maknanya bergelar muslim.apa ya? solatlah kawan,solat tu kena cukup lima waktu.Jangan nak culas-culas,jangan nak malas-malas.Dah besar pun solat culas lagi ke?Sendiri mahu jawablah.Solat tu buatlah diawal waktu,jangan nak tanguh-tanguh kecualilah atas sebab yang munasabah.Kalau dapat berjemaah lagi bagus besar pahalanya.

Lepas tu, rajin-rajinlah baca Al-Quran paling teruk pun sepipi(satu muka) sehari,malas juga? 2 ayat pun takpe....tak mau lah, nak baca satu juzuz sehari,oh ye ke bagus.......bagus.

Ambillah masa untuk baca al-ma'thurat seboleh-bolehnya setiap hari, selepas subuh dan selepas asar.Lepas tu lagi, biasa-biasakanlah diri untuk bangun sembahyang malam,besar fadilatnya.Lepas tu kan rajin-rajinlah pergi majlis ilmu. jangan nak malu-malu,kasi ketuk itu hati bagi lembut sikit.Akhirnya....hmm....bukan akhir jugak banyak lagi...mahu tahu? carilah sendiri hehe....Banyakkanlah berzikir,jom zikir
Subhanallah,walhamdulillah,walailahailallah,huawallahuakbar.....
Seterusnya apa nak kena buat....hmm...kena kurangkan.....

hah, nilah yang tak nak ni,nak kena kurang-kurang ni tak berapa nak suka ni.

Nak tahu tak?

hiss tak suka..tak suka ni... 

Nak tahu ke tak nak?....

 Nak la wei..

.hah macam tulah, NAK TAHU BACA.....
Ingat tak apa kunci perubahan?... tak ingat? kalau tak ingat baca balik.

Ingat...ingat HATI.

hah bagus,HATI kunci perubahan.jadi nak kena jaga hati, nak jaga 'hati' bukan bagi bunga(eh melalut la pulak)nak jaga hati kena kurangkan....
  • Bercakap tentang orang lain - takut cenderung kearah mengumpat
  • Menonton rancangan TV - bukan tak leh tengok tapi kurangkan
  • Dengar lagu -bukan tak boleh tetapi jangan terlalu 'berhantu' tiap-tiap hari memekak.jangan salah faham saya bukan anti-lagu
  • Kurangkan ketawa tapi senyum selalu,senyum sokmo - takut hati keras, bila ketawa jangan keterlaluan.
  • Kurangkan ber'dating' - hee....yang ni mesti bengang"engkau tak bercinta, sedaplah engkau tulis"hee... apa-apa jelah.
Dan banyak lagilah perkara yang kena kurangkan,cari sendiri lah ya. dah tak larat nak tulis dah.
Memang seronok nak buat perubahan kalau semangat tengah naik. Tapi kita ni kan manusia bukan robot ada naik turun.Nak buat macam mana?Kalau saya lah kan............hmmm.....ni kalau saya la kan.Bila saya rasa down,saya akan pandang langit sambil puji Allah atau beristikfar.InsyaAllah, lepas tu semangat saya akan naik balik.sebenarnya seronok tengok langit ni terutamanya pada waktu malam.Nak tahu?cubalah tengok sambil puji Allah"Ya Allah, maha besar engkau,hebatnya ciptaanMU ini".

Kedua,saya kalau rasa down saya akan cari buku agama atau motivasi.mencari ayat-ayat yang bersesuaian untuk menaikkan semula semangat dalam diri.sebab saya jenis yang tak boleh cakap banyak kalau saya down. kalau saya bercakap entah apa-apa yang saya cakapkan.ini akan membuatkan saya bertambah down.jadi cara terbaik baca buku.

Yang ketiga dan terakhir untuk dikongsikan bersama anda adalah berbahas dengan diri sendiri atau pujuk diri sendiri.Contohnya katakanlah saya malas nak sembahyang awal nak tangguh dulu padahal tak buat apa-apa pun. saya akan cakap(hati yang bercakap)"bangunlah,jom g solat,janganlah macam ni,kitakan hamba Allah,banyaknya nikmat Allah yang Allah berikan kat kita,bangunlah".Begitulah lebih kurang.

Itu cara saya, tapi tiap orang ada cara tersendiri.Macam kawan saya kalau dia down ke,tension ke,dia akan makan aiskrim,satu mangkuk dia habiskan sorang,lepas tu,fuhh...lega katanya.ada juga yang jenis suka dengar lagu-lagu kegemaran dengan kuat bila down.macam-macam kan.Anda pula bagaimana?
Akhir kalam,ubahlah diri kita dengan penuh kesedaran,biarlah orang mengatakan perubahan kita terlambat dari yang sepatutnya.tapi teruskanlah misi perubahan ke arah yang lebih baik selagi hayat dikandung badan.Jom berubah,moga perubahan kita ke arah yang diredhai oleh Allah dan mendapat petunjuk ke jalan yang lurus.Amin...salam pembaharuan.

P/s:Ini adalah entri lama yang ditulis semasa saya berada di semester akhir pengajian yg disiarkan dalam blog saya yang satu lagi tapi sekarang blog tu saya dah tak aktifkan lagi.....insyaAllah versi baru mengenai topik berubah ini akan disiarkan pada 1/1/11,apa-apa pun moga entri ini memberi manfaat.

Isnin, 20 Disember 2010

Joannes Lucas Selepas Meneliti Ayat Al-Maidah


Pertemuan kali pertama penulis dengan anak muda kelahiran Tawau, Sabah ini, langsung tidak menampakkan dirinya seorang mualaf. Ini kerana raut wajah Joannes Lukas, 29, persis jejaka Melayu ditambah pula kelancaran tutur kata tanpa dipengaruhi loghat negeri asalnya. Malah menurut lulusan Ijazah Sarjana Muda kejuruteraan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini lagi, kalau melihat penampilan dirinya sebelum bergelar Muslim, beliau sendiri tidak menyangka akan memeluk agama Islam.


“Jadi Muslim… memang tidak pernah terlintas dan terbayang. Ini kerana saya boleh dikatakan seorang penganut Kristian yang setia serta terlibat secara aktif dengan pelbagai aktiviti gereja.


“Tetapi semuanya bermula selepas saya berhijrah ke Semenanjung Malaysia untuk menyambung pengajian di UPM kira-kira 10 tahun lalu. Pada masa itu, saya sedang berada di matrikulasi.


“Hakikatnya, pengislaman saya lebih kepada pengkajian dan perbandingan agama. Itupun selepas berhadapan dengan beberapa persoalan berkaitan agama anutan saya ketika itu,” cerita anak muda ini yang yang lebih mesra dengan panggilan Johan ketika ditemui di pejabat Jemaah Islah Malaysia (JIM) di Taman Melawati, Selangor baru-baru ini.



Tambah Johan yang juga merupakan sukarelawan di Hidayah Centre, minat membaca dan menganalisis adalah proses awal sebelum akur akan ketauhidan Allah s.w.t., sekali gus menerima Islam secara ikhlas tanpa paksaan.


“Satu persoalan yang terpacul daripada mulut seorang teman Muslim tentang keyakinan saya dengan agama anutan saya, membuatkan saya sentiasa memikirkannya berulangkali. Malah ini adalah satu pendorong untuk saya mencari apa di sebalik maksud soalannya itu tadi.


“Pada masa sama, saya ada membaca satu buku perbandingan agama yang saya temui di rumah sewaktu pulang bercuti semester. Dalam pembacaan saya itulah pelbagai aspek berkaitan agama anutan saya mula dipersoalkan. Antaranya peranan Nabi Isa dan konsep Triniti atau tritunggal.


“Peliknya, sewaktu meneliti tafsir al-Quran dari al-Fatihah hinggalah ke surah al-Maidah ayat 72 dan 73, saya tidak dapat menahan sebak dan terus menangis. Ayat tersebut menjelaskan soalan yang saya cari selama ini. Seketika itu juga, terdengar laungan azan di masjid berdekatan asrama. Mungkin di situlah Allah memberikan saya hidayah-Nya,” akui Johan yang turut membeli buku-buku lain untuk dibuat perbandingan.


Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Mariam. Padahal Al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga dan tempat kembalinya ialah Neraka dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim. (72) Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (73) al-Maidah ayat 72 - 73


Pertemuan itu, kata Johan menjadi titik perubahan yang menyedarkannya akan erti keEsaan Allah. Di samping itu, menerusi pergaulannya dengan teman-teman Muslim, mereka bagai dapat menghidu minat Johan tentang Islam, lantas memperkenalkannya dengan beberapa orang ustaz di UPM.


“Saya mula rapat dengan ustaz Haji Azhari Ahmad dan hubungan kami semakin rapat kerana dia banyak memberi penerangan yang jelas tentang banyak persoalan.


“Alhamdulillah, dengan sokongan ustaz Azhari yang juga merupakan abang angkat, akhirnya saya memeluk Islam iaitu pada 21 Jun 2000 di Jabatan Agama Islam Selangor di Subang Jaya, Selangor,” katanya.


Kata Johan, hanya Allah memahami kegembiraannya kala mengucap dua kalimah syahadah. Ia seolah-olah berjumpa dengan sebutir mutiara. Perasaan seronok, gembira mengatasi segalanya, waima keputusan yang diambil itu membelakangkan keluarga.


“Menyedari pilihan yang dibuat mengundang kemarahan keluarga, saya cuba merahsiakan pengislaman diri daripada pengetahuan keluarga dengan pelbagai helah dan lakonan semata-mata jika pulang ke kampung,” cerita anak ke-10 daripada 12 adik-beradik ini yang mahu kekal dengan nama sebelum Islamnya kerana ia masih membawa maksud yang baik iaitu, Yahya Lokman.


Pun begitu, rahsia yang dipendam selama itu cuba ditamatkan dengan menulis sepucuk surat kepada keluarga. Di dalam warkah itu, Johan cuba menjelaskan kepada keluarganya bahawa pengislamannya bukan kerana paksaan atau pengaruh sesiapa dan bukan kerana wanita tetapi hanya daripada kajian dan berdiskusi untuk mencari kebenaran.


Kata Johan, perbuatannya itu mengundang kejutan besar kepada keluarga dan bermulalah episod penuh mencabar sebaik bergelar Muslim.


“Saya ada pulang ke kampung sebelum majlis perkahwinan kakak. Rupa-rupanya, kepulangan saya tidak diterima mereka sehingga saya dihalau dan dipulau serta disindir. Itu semua tidak saya endahkan kerana saya sentiasa mengatakan bukankah bila saya masuk Islam, saya lebih baik dari dahulu?


“Saya sayangkan keluarga saya. Agama tetap agama dan bangsa tetap bangsa. Islam tidak memisahkan hubungan anak dengan ibu bapa mahupun keluarganya. Di samping itu, saya tidak pernah jemu berdoa dan melakukan yang terbaik sama ada sebagai anak mahupun adik.


“Alhamdulillah, kini ibu yang sudah berusia 64 tahun menerima dan merestui pengislaman saya. Saya bersyukur keperibadian Muslim yang cuba saya tonjolkan kepada keluarga berjaya merubah persepsi negatif mereka terhadap Islam dan menerima saya sebagai Muslim,” ujar Johan yang terus berdoa agar seluruh ahli keluarganya turut menerima hidayah Ilahi.


Mengenai penglibatannya dengan kerja-kerja sukarelawan di Hidayah Centre, kata Johan secara serius ia bermula tahun lalu. Tetapi minatnya bermula selepas perkenalan dengan sukarelawan JIM yang turut sama mengikuti kursus perkaderan mualaf anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 2003.


“Di hati kecil saya terpanggil untuk memberi satu kemanisan Islam kepada bukan Islam apa lagi tugas menyampaikan dakwah Islamiah adalah tanggungjawab setiap umat Islam yang merupakan khalifah Allah di muka bumi ini.


“Amatlah penting untuk kita memberi gambaran jelas tentang agama Islam. Sebab itulah, saya selalu terangkan kepada keluarga dan semua bahawa untuk kenal Islam kena kenal agamanya. Kesilapan sekarang ini, orang bukan Islam melihat dari sudut yang tidak berapa tepat iaitu orangnya,” katanya.


Buat masa ini, Johan berusaha memantapkan kecintaan kepada Allah dan sesama makhluk.


“Di samping itu, saya ada menerima undangan membuat perbandingan agama terutamanya untuk agama kristian, memandangkan sedikit ilmu yang ada dan saya rasa ia perlu dikongsi dengan ramai agar syiar Islam terus tersebar dan berkembang serta bebas daripada persepsi negatif,” kata Johan mengakhiri perbualan kami lewat petang itu.

Sumber Ciplak:zahrifalimin.blogspot.com

Ahad, 19 Disember 2010

Panduan Memilih Sahabat


Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu

Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;

Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;

-Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;

-Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu

-Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;

-Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;

-Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;

-Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;

-Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;

-Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;

-Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentinga
persahabatan;

-Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;

-Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sabtu, 18 Disember 2010

Kisah Brownies Dan Kehidupan


Dua orang remaja meminta kebenaran ayahnya untuk pergi menonton filem yang sudah ditonton oleh semua rakan-rakan mereka. Namun selepas membaca sedikit review filem itu di internet, ayah mereka menolak permintaan mereka. 

“Ah ayah, kenapa tak boleh?” gusar si adik. “Ia dilabel 18-SX, tapi kami berdua dah pun lebih dari 18 tahun!” 

Ayahnya membalas, “Ini kerana filem itu terdapat aksi-aksi yang tidak bermoral dan tidak patut ditonton oleh masyarakat umum.” 

“Tapi ayah, itu cuma sebahagian kecil daripada filem itu! Kawan-kawan kami cakap, filem itu ada 2 jam, tapi aksi-aksi itu hanya beberapa minit saja! Filem ini ada banyak pengajaran yang lebih besar, seperti kemenangan kebaikan di atas kejahatan, pengorbanan, dan keberanian. Review di laman web filem juga ada mengatakan demikian!” 

“Jawapan ayah ialah “tidak” dan ini adalah muktamad. Kamu boleh ajak kawan-kawan kamu datang ke rumah malam ini dan menonton video-video yang ada dalam koleksi video keluarga kita. Tapi kamu tidak boleh pergi menonton filem itu. End of discussion.”

Kedua-dua anak itu berjalan dengan muka masam mencuka ke ruang tamu dan duduk di atas sofa. Sambil membayangkan wajah pelakon filem yang tidak akan mereka tonton, mereka terdengar bunyi dari dapur; seperti bunyi ayah mereka menyediakan sesuatu. Tidak lama kemudian mereka mengecam bau aroma brownies sedang dimasak di dalam oven, dan si abang berkata kepada adiknya,

“Ayah mesti rasa bersalah, dan sekarang dia hendak mengambil hati kita dengan brownies tu. Mungkin kita boleh lembutkan hatinya dan memujuknya untuk benarkan kita pergi ke wayang menonton filem itu.” 

Kedua-dua remaja itu tidak kecewa. Tidak lama kemudian, ayah mereka muncul dari dapur dengan satu pinggan brownies yang masih panas dari oven, dan memberinya kepada kedua orang anaknya. Kedua-dua mereka mengambil satu brownies. 

Kemudian si ayah berkata, “Sebelum kamu semua makan, ayah nak cakap sesuatu. Ayah sayangkan kamu berdua.” Kedua-dua remaja itu saling berpandangan antara satu sama lain dengan senyuman penuh makna. 

“Ayah dah lembut hati,” bisik hati mereka.

“Itulah sebabnya ayah membuat brownies ini menggunakan bahan-bahan yang terbaik. Hampir kesemua bahan adalah organik; tepung organik yang terbaik, telur ayam Omega-3 gred A, gula organik yang terbaik, Vanilla Premium dan coklat yang paling enak.”

Brownies itu kelihatan sungguh melazatkan, dan kedua remaja itu menjadi semakin tidak sabar lagi untuk merasai kesedapannya kerana ditangguhkan oleh ‘khutbah’ ayahnya yang semakin panjang.

“Tetapi ayah ingin berlaku jujur kepada kamu berdua. Ada satu bahan istimewa yang ayah letak dalam brownies itu yang tidak akan dijumpai oleh mana-mana brownies lain. Dan bahan itu ayah ambil dari belakang rumah kita. Tapi kamu jangan risau, ayah hanya letak sekelumit sahaja bahan itu ke dalam brownies kamu. Jumlahnya sangatlah sedikit. Jadi makanlah dan berikan pendapat kamu tentang resepi baru brownies ayah.” 

“Ayah, boleh tak ayah bagitahu apa bahan misteri tu sebelum kami mula makan?” tanya si abang. 

“Kenapa? Sikit je jumlah bahan tu yang ayah letak. Satu sudu je. Kamu tak akan boleh perasan pun rasanya.”

“Ala ayah.. bagitahu je la kat kami apa bahan tu” pinta si adik. 

“Jangan risau! Bahan tu organik, sama seperti bahan-bahan lain juga”.

“Ayahh..” pinta kedua-dua beradik itu, serentak. 

“Ok, kalau kamu bersungguh-sungguh nak tahu. Kandungan misteri itu ialah…. Tahi anjing!!” 

Kedua-dua anak itu terus meletakkan kembali brownies itu ke dalam pinggan dan mengesat-ngesatkan tangan kanan mereka ke baju dengan penuh rasa menjijikkan. 

“Ayah! Ayah tahu tak yang ayah dah seksa kami dengan bau brownies yang sedap tu selama setengah jam. Bila dah siap, ayah kata ayah letak tahi anjing dalam brownies tu. Kami mana boleh makan bende tu”. 

“Kenapa tak boleh pula? Kandungan tahi tu sangat sedikit kalau dibandingkan dengan bahan-bahan lain. 
Takkan ada efek punya la.. Ia sudah pun dimasak bersama-sama bahan yang lain. Kamu takkan boleh perasan pun rasanya. Ia dah pun bersebati dengan bahan-bahan lain menjadi brownies. Jadi tunggu apa lagi, makanlah!” 

“Tak ayah… kami tetap taknak makan!” 

“Dan ini adalah sebab yang sama kenapa ayah tak benarkan kamu berdua pergi menonton filem tadi. Kamu tak boleh terima sedikit tahi anjing di dalam pinggan kamu, kenapa kamu boleh terima sedikit adegan tidak bermoral di dalam filem yang boleh mengotorkan hati kamu? Kita berdoa kepada Allah yang Dia akan menjaga kita dari mengikut hawa nafsu, tapi kenapa kita dengan akal fikiran yang waras boleh membenarkan diri kita menonton sesuatu yang boleh meninggalkan kesan kotor di dalam diri, fikiran dan hati kita dan terperangkap di dalam lubuk nafsu sesudah itu? Harap kamu berdua dapat pengajaran yang baik dari peristiwa ini”.

p/s~Hati kita mati sedikit demi sedikit disebabkan perbuatan kita. Benda atau prkara yang dianggap kecil sebenarnya boleh memberi impak yang besar dalam kehidupan tanpa kita sedari.

Kredit:Syasya sya member of pemimpin para syuhada group.

Jumaat, 17 Disember 2010

Peguam Jacko Masuk Islam


PADA 17 Oktober 2009, peguam terkenal Amerika Syarikat (AS) yang bertaraf jutawan, Mark Shaffer secara rasmi memeluk Islam di Arab Saudi. Beliau yang mengendalikan pelbagai kes perundangan sivil, memeluk Islam ketika bercuti 10 hari di negara itu untuk melawat bandar terkenal seperti Riyadh, Abha dan Jeddah.

Di AS, beliau seorang yang sangat dikenali lebih-lebih lagi Shaffer ialah peguam yang mengendalikan kes raja pop Michael Jackson, iaitu seminggu sebelum superstar itu meninggal dunia pada 25 Jun 2009. Sebagaimana yang diceritakan oleh pemandu pelancong, Dhawi Ben Nashir yang mengiringi Shaffer sepanjang percutian di Arab Saudi itu, peguam itu memeluk Islam dengan penuh kerelaan.

“Sejak hari pertama Shaffer menjejakkan kakinya di Tanah Arab, beliau bertanyakan pelbagai soalan mengenai Islam terutamanya mengenai solat.

“Selepas bercuti selama dua hari di Riyadh, sebuah bandar yang agak moden, kami kemudiannya bertolak ke Bandar Najran untuk melawat dua kawasan iaitu Abha dan Al-Ula. Di situ, minat beliau terhadap Islam semakin bercambah lebih-lebih lagi apabila berada di padang pasir yang gersang dan tandus. Namun semua ini memberikan pelbagai kesan tersendiri kepada jiwa Shaffer,” katanya.

Shaffer dikatakan begitu tertarik melihat gelagat tiga pemuda yang turut mengikuti rombongan itu mendirikan sembahyang di tengah-tengah padang pasir yang luas. Suasana itu memberikan satu pemandangan yang cukup indah kepada peguam tersebut. Selepas itu mereka ke Al Juf dan sejurus tiba di sana, Shaffer meminta Dhawi mendapatkan beberapa buah buku mengenai Islam. Sehari suntuk Shaffer menghabiskan masa dengan hanya membaca buku-buku tersebut.

“Keesokan pagi, Shaffer terus meminta saya supaya mengajarnya bagaimana melakukan solat. Tanpa banyak masalah saya pun menerangkan cara-cara untuk mendirikan solat termasuk mengambil air sembahyang,” kata Dhawi.

Tanpa disangka, Shaffer kemudiannya berdiri di sebelah Dhawi dan mereka bersama-sama mendirikan solat. Selepas bersolat dan berdoa, Shaffer berterus terang kepada Dhawi mengenai jiwanya yang kini dirasakan cukup tenang dan damai, suatu nikmat perasaan yang tidak beliau pernah rasakan sebelum ini. Ketika itu peguam berkenaan hanya ingin merasa sendiri kesan solat terhadap dirinya walaupun masih belum memeluk Islam secara rasmi.

Pada petang Khamis itu mereka meneruskan perjalanan ke bandar Jeddah. Sepanjang perjalanan itu Shaffer tidak putus-putus membaca buku mengenai Islam. Apabila tiba dan menginap di sebuah hotel di Jeddah, Dhawi meminta kebenaran Shaffer untuk keluar mengerjakan solat Jumaat.

“Bolehkah saya pergi bersama-sama awak? Nanti, bolehlah saya melihat sendiri bagaimana yang dikatakan solat Jumaat itu,” kata Shaffer.

“Silakan, tidak ada masalah, marilah,” ajak Dhawi.

Setibanya mereka di sebuah masjid yang terletak tidak jauh dari hotel penginapan, Shaffer dan Dhawi terpaksa solat di luar masjid. Mungkin kerana mereka tiba agak lewat, para jemaah telah melimpah ke luar masjid.

Menurut Dhawi, beliau melihat sendiri bagaimana Shaffer begitu asyik menyaksikan gelagat umat Islam mengerjakan solat terutama sebaik sahaja masing-masing selesai mengerjakan solat itu. Para jemaah tanpa mengira latar belakang, miskin kaya dan sebagainya mereka semuanya saling bersalaman dan berpeluk dengan wajah yang ceria dan gembira.

"Unik dan indah"

Shaffer mengakui beliau begitu mengagumi pemandangan yang disifatkan begitu unik dan indah itu. Sebaik sahaja tiba di hotel, tanpa ragu-ragu lagi Shaffer memberitahu Dhawi keinginannya memeluk Islam secara rasmi. Dhawi tidak terkejut malah meminta supaya Shaffer membersihkan diri, iaitu mandi sunat dan kemudiannya beliau membimbing peguam itu melafazkan dua kalimah syahadah. Maka rasmilah jutawan AS itu memeluk Islam setelah mengamati dan tertarik dengan suasana serta bagaimana agama itu begitu kuat diamalkan di Arab Saudi.


Selesai memeluk Islam itu, Shaffer menyatakan hasratnya untuk mengunjungi dan beribadat di Masjidil Haram di Mekah, sebelum mengakhiri percutiannya di Arab Saudi. Bagi memenuhi hasrat Shaffer itu, Dhawi membawanya ke pejabat Dakwah dan Irshad di Al Hamro Jeddah bagi mendapatkan pengesahan mengenai pengislaman peguam itu. Shaffer kemudiannya mendapat sijil sebagai dokumen rasmi yang membenarkan Shaffer untuk memasuki kota Mekah dan beribadat di Masjidil Haram.

Beliau kemudiannya diiringi Muhammad Turkistani yang bermurah hati membawa Shaffer masuk ke Tanah Suci Mekah dan bersama-sama beribadat di situ. Sebaik sahaja Shaffer dapat memasuki Masjidil Haram di mana tersergam di hadapannya kini kaabah yang menjadi kiblat dan tumpuan ibadah umat Islam wajah Shaffer begitu gembira dan berseri-seri.

“Tidak dapat dibayangkan betapa gembira malah begitu terharu kerana sukar mempercayai bahawa Kaabah kini berada di hadapan mata,” kata Shaffer kepada Dhawi.

Syukur atas nikmat Allah

Mulutnya tidak henti-henti mengucapkan syukur atas nikmat Allah kerana dapat berada di hadapan kaabah lebih-lebih lagi dalam tempoh 24 jam baru memeluk Islam. Beliau kemudiannya mengerjakan tawaf mengelilingi kaabah yang diakhiri dengan solat sunat dan doa yang panjang.


Apabila tiba masanya untuk mereka meninggalkan Masjidil Haram, dapat dilihat betapa Shaffer seperti enggan berpisah malah suasana bertukar menjadi sangat sayu.

Baru sampai sudah hendak berpisah, hati mana yang tidak sedih! Dalam satu temuramah dengan akhbar Al Riyadh, Shaffer tidak dapat menghuraikan perasaannya kini setelah rasmi memeluk Islam tanpa paksaan mana-mana pihak.

“Tetapi apa yang jelas, dapat dirasakan saya seperti dilahirkan semula dan kehidupan seolah-olah baru sahaja bermula.

“Di samping begitu gembira iaitu kegembiraan yang sukar saya terjemahkan melalui kata-kata apabila diizinkan Allah tidak sahaja dapat mengecap nikmat iman tetapi yang lebih bertuah lagi saya dapat beribadat di hadapan kaabah.

“Ini menjadikan diri saya sangat mendekati Islam dan tidak mahu berjauhan dari kaabah yang suci itu,” katanya.

Namun beliau menyedari bahawa dia masih begitu dangkal mengenai Islam.

“Maka menjadi satu tanggungjawab selepas ini untuk saya terus mengkaji dan mendalami agama Allah ini dan yang pasti kembali ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah dan haji,” ujarnya dengan penuh azam.

Sebelum ini menurut Shaffer, beliau telah menerima pelbagai maklumat mengenai Islam namun semua itu agak terhad.

“Sehinggalah saya melawat Arab Saudi dan secara peribadi menyaksikan mengenai Islam di sana, melihat sendiri bagaimana mereka mendirikan solat semua itu menyebabkan keinginan saya untuk mengenali Islam semakin kuat.

“Ditambah apabila saya banyak membaca mengenai Islam semua itu membuatkan saya semakin yakin bahawa Islam adalah agama yang benar,” katanya.

Sumber Ciplak:

http://zharifalimin.blogspot.com