Ke Gereja Untuk Ke Masjid



Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah!” saya melafazkan syahadah.
Laura mengulang bilah-bilah kesaksian itu dengan penuh kesungguhan.
“Alhamdulillah. Welcome back, sister!”, saya menadah tangan mengucap syukur.
Laura menangis.
Bukan sedih.
Tetapi riak wajahnya menampaknya suatu kelegaan yang besar.
Pagi itu Laura telah mengisytiharkan keIslamannya di hadapan saya dan beberapa warga masjid, termasuk beberapa muslimat yang saya jemput untuk meraikan Laura.
Thank you, Imam. I feel so blessed that no word can describe my feeling right now. I can’t believe that I am now a Muslim. Finally!” kata Laura.
Saya sendiri berasa sebak dan terharu.
Selepas beberapa kali berutus soal jawab melalui telefon, pagi itu Laura nekad untuk melafazkan syahadahnya. Saya mengalu-alukan ‘kepulangan’ beliau dengan ucapan ‘Welcome back‘, kerana mahu mengangkat hakikat yang diterangkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam bahawa setiap insan itu dilahirkan fitrah.
Muslim by nature.
JALAN DATANG KEPADA ISLAM
“Izinkan saya bertanya, apakah yang mengundang nekad kamu untuk memeluk Islam pagi ini?” saya cuba mendapatkan cerita. Ia perkara biasa setiap kali ada saudara baru yang memeluk Islam. Saya suka meneliti kisah-kisah mereka kerana ia berguna untuk muhasabah dakwah saya.
“Imam pun tahu yang saya memang sudah agak lama cenderung kepada Islam, bukan?” tanya Laura kepada saya.
Saya mengangguk.
Semenjak lebih 6 bulan, Laura sudah berhubung dengan saya. Beliau merupakan pelajar Biologi di universiti berdekatan. Kajian-kajian Laura tentang hal-hal berkaitan evolusi membawa beliau dekat kepada Islam. Beliau terperangkap di antara peperangan Creationist Christian dan Evolutionist yang sering bernada Atheist.
Tetapi Laura tidak punya kekuatan untuk melakukan hijrah.
Banyak perkara yang dipertimbangkannya, terutamanya aspek sosial. Sanggupkan dirinya melakukan perubahan dan bagaimanakah penerimaan keluarga dan rakan… ini merupakan isu besar buat Laura.
Saya mengambil inisiatif menemukan Laura dengan Hannan, iaitu isteri kepada majikan saya yang juga merupakan seorang Irish Muslim. Lanjutan daripada itu, Laura ditemukan dengan beberapa orang lagi Irish Muslim, yang meyakinkan beliau bahawa beliau tidak bersendirian dengan hijrah yang bakal dilakukannya nanti.
“Tetapi, saya mendapat kekuatan itu akibat peristiwa malam tadi!” kata Laura.
“Apa yang berlaku?” saya ingin tahu.
“Malam tadi kami sekeluarga ke gereja untuk menghadiri mass bersempena dengan Hari Ibu. Ajaib sekali, ceramah yang disampaikan oleh paderi di gereja itu sungguh mengesankan. Saya asyik mendengarnya malah ahli gereja yang lain juga begitu mengaguminya” cerita Laura.
“Selepas selesai majlis, seperti biasa paderi berdiri di pintu gereja, bersalaman dengan kami semua. Apabila tiba giliran, saya mengucapkan tahniah kepadanya atas ceramah beliau yang sungguh hebat” sambung Laura.
“Wah bagus begitu. Jarang sekali Imam masjid menghargai mereka yang hadir ke masjid sedemikian rupa. Saya juga harus mengamalkannya!” saya mencelah.
Laura dan hadirin yang lain ketawa.
“Apa isi ceramahnya?” saya mahukan kepastian.
“Oh, ceramah malam tadi ialah tentang hubungan ibu dengan anak, dari kandungan hingga penyusuan dan kepentingan menyusukan anak sendiri” kata Laura.
Saya mengangguk. Jemaah yang lain juga khusyuk mendengar.
“Lalu saya beritahu paderi tersebut: tahniah, kerana ceramah awak yang sangat bagus. Cuma, saya ingin tahu, pernahkah tuan membaca apa-apa dari Quran, buku orang Islam, tentang tajuk yang dibentangkan tadi?” cerita Laura lagi.
Saya khusyuk mendengar cerita Laura. Beliau memang pengunjung setia gereja. Tetapi aturan Allah sedikit berbeza. Setiap kehadirannya ke gereja, menjadikan beliau semakin hampir kepada masjid.
“Paderi itu membisikkan ke telinga saya bahawa sebenarnya beliau mengambil keseluruhan inti ceramahnya daripada al-Quran! Beliau tidak bertemu dengan keterangan sebaik keterangan al-Quran tentang topik tersebut” tegas Laura.
“Allah!” saya mengurut dada.

alanaam114.jpg


“Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu” [Al-An'aam 6: 114]
“Saya sangat terkejut dengan statement beliau. Hampir rebah saya dibuatnya. Apabila saya kembali ke rumah, emak dan ayah masih lagi bercerita tentang kehebatan ceramah paderi di gereja tadi. Saya beritahu mereka apa yang paderi itu sendiri nyatakan kepada saya” sambung Laura.
“Bagaimana reaksi keluarga anda?” saya bertanya.
“Mereka sangat terkejut dan emak saya ketakutan kerana dia tahu kecenderungan saya kepada Islam” jawab Laura.
“Saya sudah lama meyakini kebenaran Islam. Kata-kata paderi itu malam tadi telah memberikan satu-satunya yang saya perlukan untuk menjadi Muslim, iaitu kekuatan. That’s it. I am now a Muslim and I will declare my faith tomorrow!” kata Laura dengan penuh yakin.
Beliau menganggap dirinya telah menjadi Muslim semenjak malam tadi. Tetapi beliau datang ke masjid agar keIslamannya disaksikan oleh pihak masjid untuk maslahah-maslahah yang sedia maklum.
SECEBIS KISAH
Itulah kisah daripada siri peristiwa saya menguruskan proses menerima Islam oleh warga Ireland selama saya bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Northern Ireland.
Kebanyakan mereka yang memeluk Islam di Ireland, melakukannya hasil kajian dan pembacaan sendiri. Lazimnya, saya hanya membantu menyelesaikan beberapa isu berbaki sebelum mereka mengambil keputusan untuk memeluk Islam.
Sebagai seorang Muslim yang juga Imam di masjid tersebut, tentu sahaja saya bergembira dan bersyukur dengan perkembangan ini, khususnya selepas insiden 11 September 2001. Namun apa yang lebih menggembirakan saya, ialah hakikat integrasi, keterbukaan dan komitmen kepada dialog menjadikan usaha dakwah subur di bumi Eropah.

Saya yakin, jika umat Islam di negara ini memperbaiki identiti mereka agar lebih mudah didekati, bercakap dengan rasional tanpa dikaburkan oleh sentimen dan emosi, maka jalan untuk penyebaran Islam akan terbuka dengan lebih luas.

Kita tidak perlu terlalu terburu-buru mahu mengIslamkan sesiapa, sebaliknya harus banyak menumpukan perhatian kepada menerangkan tentang Islam secara baik kepada mereka yang mencari. Tumpuan kepada berhujah dan berdakwah untuk menyebarkan kebaikan serta kebenaran adalah lebih sejahtera daripada usaha mengIslamkan non Muslim secara tergesa-gesa seolah-olah urusan itu demi kepentingan kita, dan bukannya dia, dan ALLAH.

Malah kita juga harus memberi galakan agar masyarakat Kristian kembali ke gereja. Biar Buddha dan Hindu kembali rajin ke kuil mereka. Selain mengembalikan fungsi agama pada membaikkan manusia, menghargai agama, menjadikan mereka semua setapak lebih hampir kepada Islam. Materialisma yang menjadi anutan manusia hamba duit dan harta, sangat membutakan kehidupan seperti kisah Sahib al-Jannatain di dalam Surah al-Kahf ayat 32 hingga 46.

Jika mereka menerima Islam dan terbuka hatinya untuk memeluk Islam, maka setinggi-tinggi syukur kita lafazkan.

albaqarah256.jpg


“Tiada paksaan di dalam agama” [Al-Baqarah 2: 256]


Jika mereka tidak memeluk Islam, penerangan dan hujah yang disampaikan melalui dakwah dan pendidikan tetap berguna menjauhkan mereka daripada permusuhan membuta tuli terhadap Islam dan seterusnya lebih ‘dekat’ dengan kita, biar pun tidak atau belum bersama.
Kira-kira sebulan selepas memeluk Islam, Laura telah mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga dengan Ali, seorang sahabat yang berasal dari Libya. Saya telah mengurus dan mengakadkan nikah mereka dengan nasihat agar Ali terus membimbing Laura dengan nasihat agama dan wasiat iman.
Berikan komitmen kepada dakwah, itu tugas yang kita warisi daripada Rasulullah..
Wa saLlallahu ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘alaa aalihi wa sahbihi wa sallam. Walhamdu liLLaahi Rabb al-’Aalameen.

Sumber:www.saifulislam.com 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

4 Ciri-ciri Orang Yang Berpandangan Jauh (Futuristik)

Aku Mahu Sihat