Kisah Brian Mencari Islam


“Imam, Imam! Assalamualaikum!” kedengaran suara menjerit dari luar.
Siapa pula yang datang ke rumah saya awal-awal pagi ini. Jam baru menunjukkan pukul 8 pagi.
“Waalaikum al-Salaam wa Rahmatullah. Sebentar ya”, saya menuju ke pintu.
Oh, Hisham rupanya. Dia tersenyum dan ketawa kecil.
“Ya Hisham, apa halnya?”, saya bertanya kehairanan. 
“Saya tahu Imam tak suka diganggu waktu-waktu begini. Sebab itu saya ketawa.”, kata Hisham.
“Oh, tidaklah sampai begitu. Kalau ada keperluan, tak ada masalah. Kenapa kamu ni? Bekalan roti empat segi kamu sudah habiskah?”, saya masih menunggu penjelasan.
“Di masjid sana, ada seorang budak Irish mahu berjumpa dengan Imam. Dia nampak cemas dan enggan memberitahu saya apa tujuannya mahu berjumpa dengan Imam.”, kata Hisham.
“Kesian kamu. Orang nak jumpa saya, kamu pula yang dikejutkan awal-awal pagi ini”, saya menjawab.
“Eh, bila pula saya tidur?”, Hisham menyanggah andaian saya.
“Hmm, bukan saya tak kenal kamu, Hisham. Baiklah. Saya datang sekarang”, saya masuk ke rumah untuk bersiap.
PERKAHWINAN AHLI KITAB
Hisham dan adiknya Abdul Rahim menyewa di bilik loteng masjid kami. Mereka berdua ini agak istimewa kepada saya kerana latar belakang keluarga mereka yang unik. Ayah Hisham dan Abdul Rahim adalah seorang pensyarah yang mengajar Bahasa Inggeris di Arab Saudi. Beliau dari Mesir. Manakala ibu Hisham dan Abdul Rahim pula adalah seorang wanita Irish Kristian bermazhab Katolik. Beliau adalah bekas rahib di gereja tetapi kemudiannya berkahwin dengan ayah Hisham.
Perkahwinan mereka adalah berasaskan kepada peruntukan syarak terhadap pernikahan Ahli Kitab. Berdasarkan statistik yang disimpan di masjid, kebanyakan perkahwinan lelaki Muslim dengan perempuan Kristian, tidak berjaya. Sama ada ia berakhir dengan penceraian dan konflik, atau anak-anak mereka ditimpa krisis identiti yang teruk.
Akan tetapi ibu Hisham membesarkannya adik beradik dengan penuh amanah. Ayah mereka tinggal di Arab Saudi dan datang ke Ireland hanya beberapa kali dalam setahun. Tetapi ibu mereka membesarkan mereka dengan baik, malah tidak keterlaluan saya katakan, lebih baik daripada kebanyakan perempuan Muslim yang saya temui di sekitar Ireland. Anak-anaknya dibesarkan sebagai seorang Muslim yang taat dan apabila Hisham dan Abdul Rahman, serta abangnya Dr. Ahmad sebelum ini, masuk ke universiti, beliau sendiri meminta kepada masjid agar menerima anak-anaknya untuk menyewa di bilik masjid agar ‘terjaga’.
Saya pernah bertemu beberapa kali dengannya dan saya amat kagum dengan peribadi beliau. Hampir terlupa saya bahawa beliau beragama Kristian. Mudah-mudahan terbukalah hatinya di suatu hari nanti untuk menerima Islam.
TETAMU YANG ‘KETAKUTAN’
Perjalanan saya dari rumah ke masjid hanya sekitar 100 meter. Apabila saya masuk ke pejabat, saya lihat Hisham sedang berbual dengan seorang budak Irish yang saya anggarkan umurnya sekitar 17 atau 18 tahun.
“Selamat pagi. Saya Hasrizal. Imam di sini”, saya menghulurkan tangan bersalaman.
“Selamat pagi Imam. Nama saya Brian. Boleh saya berbual dengan Imam sekejap?”, Brian menyambut tangan saya. Beliau sedikit menggigil.
“Tentu sekali. Silakan duduk. Nampaknya awak seperti ada masalah. Dengan izin Tuhan, saya akan cuba membantu”, saya mempersilakan beliau duduk.
“Mereka nak bunuh saya, Imam! Mereka sedang mencari saya”, Brian memulakan cerita. Matanya liar melihat kiri dan kanan pejabat saya.
“Eh, siapa pula yang nak bunuh kamu? Apa sebabnya?”, saya terkejut.
“Mereka tahu yang saya sudah menemui kebenaran. Mereka tahu saya sudah tidak percaya kepada mereka. Mereka akan sihirkan saya. Apa yang patut saya buat, Imam?”, Brian semakin gelisah.
“Sabar, Brian. Ceritakan kepada saya satu persatu. Siapa kamu, siapa mereka, dan mengapa mereka mahu membunuh kamu?”, saya cuba menenangkan Brian.
“Imam mungkin tak kenal saya. Tapi saya kenal Imam. Saya selalu duduk di luar pagar masjid mendengar ucapan Imam setiap Jumaat.”, katanya.
KHUTBAH JUMAAT UNTUK NON MUSLIM
Saya tahu, setiap Jumaat apabila saya menyampaikan khutbah, memang ada beberapa orang bukan Islam yang datang secara tetap untuk mendengar khutbah. Saya tidak pasti siapa mereka. Mungkin datang kerana jujur mencari kebenaran, mungkin juga perisik atau polis freeman yang memantau kegiatan masjid. Tetapi saya sentiasa pastikan khutbah Jumaat saya ada bahagian untuk kumpulan non Muslim yang datang itu.  Rupa-rupanya, salah seorang daripada mereka adalah Brian.
“Baik. Terima kasih kerana sudi datang ke majlis kami. Teruskan cerita kamu”, saya memberi laluan kepada Brian.
“Sebenarnya saya adalah pengikut Jehovah’s Witnesses Movement. Imam tahu apa itu Jehovah’s Witnesses?”, Brian bertanya kepada saya.
“Ya, sedikit sebanyak saya tahu mengenainya”, saya menjawab.
GERAKAN JEHOVAH’S WITNESSES

Charles Taze Russell
Jehovah’s Witnesses Movement ini adalah pecahan daripada Kristian bermazhab Protestant. Ia diasaskan oleh Charles Taze Russell di Amerika Syarikat pada tahun 1884. Di Belfast, saya tahu kumpulan ini bergerak aktif. Kadang-kadang mereka datang ke rumah orang Islam untuk menyampaikan mesej mereka. Saya juga pernah terbaca majalah mereka yang terkenal, The Watchtower.
“Saya tinggal di Armagh. Di sana juga ada jemaah Jehovah’s Witnesses ini. Saya sudah lama mengikuti program mereka bersama ibu bapa saya. Tetapi saya sudah tidak percayakan mereka. Saya tahu agama yang benar bukan agama itu. Sebab itulah saya cuba belajar tentang Islam.”, Brian bercerita. Tangannya berpeluh-peluh dan masih kelihatan gelisah.
“Teruskan”, saya memberitahu.
“Mereka sudah tahu yang saya selalu datang ke masjid di Belfast. Mereka mahu membunuh saya”, kata-kata Brian semakin cemas bunyinya.
“Negara ini bukankah ada undang-undang? Jika mereka mengugut kamu, maka kamu mesti melaporkannya kepada polis”, saya cuba mententeramkan budak Irish yang malang ini.
“Tapi Imam, mereka tidak mengugut saya. Mereka sudah tidak bercakap dengan saya. Saya dipulaukan”, kata Brian.
“Habis, macam mana kamu boleh katakan yang mereka mahu membunuh kamu?”, saya mahu mendapatkan kepastian.
“Saya dengar, mereka yang lari dari jemaah kami akan dihukum bunuh. Lagi pun mereka mengamalkan Black Magic. Saya takut Imam”, Brian mula menangis. Beliau terus panik dan matanya masih tidak fokus.
“Brian, izinkan saya bertanya. Sejauh manakah kamu telah memahami Islam?”, saya cuba mengalihkan perhatian beliau dari topik asal. Semata-mata untuk mententeramkannya dan menentukan arah perbincangan saya.
“Selain khutbah Imam, saya juga ada membaca buku-buku tentang Islam. Antara buku yang banyak mendorong saya mendekati Islam adalah buku Karen Armstrong”, katanya.
“Buku yang mana satu? A History of God atau tentang Muhammad?”, saya nampak Brian sudah tenang sedikit.
“Oh, saya hanya baca buku tentang Muhammad itu”, Brian memberitahu.
Buku Muhammad: A Biography of the Prophet yang ditulis oleh Karen Armstrong memang telah banyak menyumbang kepada pembetulan fakta tentang Rasulullah SAW dan Islam, di kalangan masyarakat Barat. Saya sendiri berasa hairan mengapakah buku tersebut diharamkan oleh JAKIM.  Mungkin di dalamnya ada satu dua fakta yang silap. Tetapi berpadananlah dengan penulisnya yang bukan seorang Muslim.  Karen Armstrong menyimpulkan dirinya sebagai freelance monotheist. Tetapi ia tidak menjejaskan mesej asal buku tersebut yang mahu masyarakat Barat menilai kembali kefahaman mereka tentang Muhammad SAW dan Islam.
PANDANGAN TENTANG ISLAM
“Bagaimana pandangan kamu tentang Islam setakat ini?”, saya cuba mencungkil kesedaran Brian.
“Apabila saya membaca tentang Islam, sekarang ini saya sudah yakin yang Kristian bukan agama yang benar. Cuma, adakah Islam ini agama yang sebenar-benarnya, saya masih mengkaji. Kita hari ini banyak diselubungi oleh pseudoreligion. Susah nak bezakan antara ajaran agama yang asal dengan intepretasi pengikutnya yang pelbagai. Saya tidak pasti adakah saya sedang memahami Islam sebenar atau pseudo-Islam?”, Brian menyambung kalamnya.
Saya faham. Bagi seorang yang beragama Kristian, terutamanya yang bermazhab Protestant, ramai yang skeptik dengan agama. Pandangan mereka diselubungi prejudis terhadap banyak perkara berkaitan kebenaran. Perbuatan Gereja memutar belitkan agamanya, telah menyebabkan Eropah hilang kepercayaan kepada agama.
Nietzsche (1844-1900)
Malah ada yang sampai ke tahap mendakwa Tuhan itu telah mati, seperti kata Nietzsche (1844-1900).  Ramai yang menganggap bahawa Nietzsche itu mulhid kerana menolak kewujudan Tuhan. Tetapi saya tidak beranggapan demikian. Nietzsche bukan menolak Tuhan si Pencipta. Tuhan yang telah mati itu, adalah Tuhan yang direka dan digambarkan oleh ajaran Kristian di zamannya yang cemar.
Nietzsche tidak menyerang Kristian dengan alasan ia bersalahan dengan tradisi reason. Nietszche hanya menentang kerana pada pandangan beliau ajaran Kristian telah menanamkan roh dan jiwa yang sakit atau rosak ke dalam diri manusia. Agama yang menuduh manusia itu asalnya berdosa menjatuhkan harga diri manusia. Paling buruk, dosa itu perlu ditebus melalui pengakuan (confession) yang dibuat kepada paderi. Bayangkan, bagaimana ‘angkuhnya’ seorang paderi yang tahu semua rahsia setiap seorang penduduk kampung. Fenomena inilah yang menjahanamkan Kristian di Eropah. Paderi menjual Certificate of Indulgence kepada penduduk kampung sebagai jaminan masuk syurga kepada mereka.
Inilah yang ditentang oleh Nietzsche malah ramai pemikir Eropah sebelumnya. Tuhan dan Ketuhanan Kristian adalah pseudoreligion.
KECERAHAN ISLAM
“Saya cadangkan kepada Brian supaya kamu tidak membaca Islam seperti kamu membaca Kristian. Islam tidak seperti agama lain. Islam lahir dalam cahaya sejarah yang terang benderang”, saya cuba menjelaskan.
“Ya, Ernest Renan pernah berkata begitu. Islam was born in full light of history”, balas Brian.
“Benar. Islam ada teks rujukannya yang masih terpelihara. Al-Quran hari ini sama dengan al-Quran yang dibaca oleh Muhammad dan sahabat-sahabatnya. Kata-kata Muhammad juga masih direkod dengan baik dan cermat. Maka kamu boleh menilai di antara idea-idea pseudo-Islam, dengan Islam yang sebenar”, saya memberitahu.
“Ya, saya faham tentang hal itu. Saya yakin perjalanan saya kepada Islam akan berakhir dengan baik.”, kata Brian.
“Amen. Semoga Allah mudahkan perjalananmu itu”, saya menadah tangan.
“Tapi Imam, sampaikah saya ke hujung jalan itu? Mereka mahu membunuh saya!”, Brian kelihatan cemas semula.
“Brian, apakah nilai paling tinggi dalam hidup ini?”, saya bertanya.
“Kebenaran! Itulah yang tertinggi dalam hidup ini”, kata Brian.
“Mengatasi soal hidup dan mati?”, saya menduganya.
“Ya, hidup tidak bermakna jika tidak dapat bertemu dengan kebenaran.  Mati sia-sia jika berlaku dalam kesesatan”, Brian berfalsafah.
“Benar. Itulah erti hidup ini. Mencari kebenaran sebagai pegangan hidup. Kamu mahu hidup untuk mencari kebenaran atau mencari kebenaran untuk menampung hidup?”, saya membalasnya dengan soalan falsafah saya pula.
“Kalau boleh biarlah dua-dua sekali. Tetapi memanfaatkan hidup untuk mencari kebenaran adalah lebih penting!”, jawab Brian.
“Jika begitu, kamu tidak sepatutnya bimbang. Hidup dan mati bukan ditentukan oleh manusia. Tetapi jika ketentuan kamu adalah mati kerana mencari kebenaran, tidakkah kamu sudah menyempurnakan maksud hidupmu?”, saya mencabar Brian.
“Ya. Imam betul. Tetapi untuk saya berkata yang saya tidak takut mati, saya berbohong, Imam”, Brian tunduk.
“Saya tidak pernah mencadangkan agar kamu tidak takut kepada mati. Tetapi biarlah ketakutan itu diterjemahkan kepada persiapan”, ujar saya.
“Persiapan untuk mati, maksud Imam?” tanya Brian.
“Ya, kita bukan hidup untuk hidup. Kita hidup untuk mati. Dan kita mati untuk kehidupan yang kekal abadi”, saya cuba meyakinkan beliau.
TINGGI DENGAN ISLAM
“Brian, mari sini, saya tunjukkan kamu sesuatu yang pasti bukan pseudo-Islam”, saya memanggil Brian agar rapat ke sisi.
Saya tunjukkan kepada Brian mushaf al-Quran dan saya bacakan kepadanya firman Allah SWT
Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. [Ali Imran:  139]
“Ya Brian, ayat ini menghilangkan kesedihan dan kebimbangan kita. Jika kamu tulus dalam mencari kebenaran, pertimbangkanlah Islam dan tinggilah kamu dengan keimanan itu”, saya merenung Brian.
“Terima kasih Imam. Sekurang-kurangnya saya rasa agak tenang untuk hari ini. Tetapi esok, entahlah”, kata Brian dengan suara yang lemah.
“Jika ada sesuatu yang menenang dan menguatkan kamu hari ini, guna dan tingkatlah ia untuk kekuatan kamu esok. Jika Brian ada sebarang masalah, kamu tahu di mana kamu boleh mencari saya, bukan?”, saya menepuk bahunya.
“Ya. Terima kasih Imam”, jawab Brian.
LAMBAIAN PERPISAHAN
Saya menghantar Brian ke pagar masjid. Lambaian saya kepadanya penuh kebimbangan. Setiap hari saya menanti Brian untuk pulang semula ke masjid. Tetapi hingga ke hari ini, Brian tidak pernah muncul.
“Ya Allah, telah kuajarkan Syahadah kepadanya. Jika Engkau takdirkan kematiannya sebelum kami bertemu, ingatkanlah Brian kepada kesaksiannya terhadap-Mu. Ameen”, saya hanya mampu berdoa.
Semoga Allah membantu masyarakat Eropah dalam perjalanan sebuah bangsa… mencari Tuhan.

Sumber; www.saifulislam.com 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

4 Ciri-ciri Orang Yang Berpandangan Jauh (Futuristik)

Aku Mahu Sihat