Hukum Dan Syarat-syarat Taubat


Berkata Imam Nawawi:Taubat daripada segala dosa adalah wajib. Sekiranya maksiat tersebut hanya di antara hamba dan Allah Taala iaitu tidak berhubungkait dengan hak-hak anak Adam maka terdapat tiga syarat:

Meninggalkan maksiat.
Menyesal dengan perlakuan tersebut.
Berazam tidak akan mengulanginya lagi untuk selama-lamanya.

Sekiranya gugur salah satu daripada syarat tadi maka taubat tersebut tidak sah. Jika maksiat itu berkaitan dengan anak Adam maka syaratnya ada empat iaitu tiga yang disebutkan tadi dan keempatnya ialah pelepasan daripada tuan empunya. Jika harta atau sebagainya maka hendaklah dikembalikan kepada tuannya.

Jika ia termasuk hak-hak anak Adam tidak kira apa jua seperti had menuduh atau seumpamanya maka hendaklah minta dihalalkan daripadanya. Dia juga wajib bertaubat daripada segala dosa.Di antara syarat-syarat lain ialah meninggalkan kawan-kawan yang jahat serta menjauhkan diri daripada orang-orang yang fasik yang boleh menggalakkan seseorang itu melakukan maksiat dan menjauhkan daripada taat.

Kemudian bergaullah dengan orang-orang yang baik lagi jujur.Firman Allah Taala bermaksud:

"Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan yang kemudian mereka bertaubat dengan segera. Maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah daripada yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga datang ajal kepada seseorang di antara mereka barulah ia mengatakan: 

Sesungguhnya sekarang saya bertaubat. Dan tidak pula (diterima taubat) orang yang mati sedang mereka dalam kekafiran. Bagi orang itu sudah kami sediakan seksa yang pedih." (Surah an-Nisa: ayat 17 dan 18).



TAUBAT ORANG AWAM

adapun ahli tasawuf bukan sahaja tertumpu kepada taubat daripada maksiat kerana pada pandangan mereka ia adalah taubat orang awam. Bahkan mereka bertaubat lebih dari itu iaitu bertaubat daripada semua perkara yang boleh menyibukkan hati dari mengingati Allah Taala setiap masa.Berkata Dzun Nun al-Mishri iaitu seorang sufi yang agung:

"Taubat orang awam adalah daripada segala dosa sementara taubat golongan khawas (gologan khusus yang hampir kepada Allah Taala) adalah dari kelalaian."

KISAH IKTIBAR


Kisah ini ada diriwayatkan di dalam sahih Muslim iaitu kisah pembunuh yang membunah seratus orang. Pembunuh itu diberi panduan dan jalan oleh seorang yang paling alim di zamannya bahawa Allah Taala akan menerima taubatnya. Orang alim tadi memberikan syarat kepadanya agar meninggalkan suasana persekitaran yang rosak kerana persekitaran di antara faktor besar yang menyebabkan dia melakukan kejahatan. Kemudian pembunuh itu pergi ke tempat yang di maksudkan. Di sana terdapat orang mukmin yang soleh agar dia mencintai orang-orang yang soleh serta dia dapat diberikan tunjuk ajar dari mereka.

PINTU TAUBAT MASIH DIBUKA

Sesungguhnya pintu taubat masih lagi terbuka kepada semua manusia sehinggalah matahari terbit dari arah barat. Maka bersegeralah kita semua untuk bertaubat kepadaNya sebelum terlambat.Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:Sesungguhnya Allah membuka tanganNya pada malam hari supaya orang yang melakukan kejahatan pada siang hari bertaubat dan Dia membuka tanganNya di siang hari supaya yang melakukan kejahatan pada malam hari bertaubat hingga matahari terbit dari barat. (Riwayat Muslim).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hambaNya daripada gembiranya seorang yang kehilangan bekal bersama untanya di sebuah padang yang tandus kemudian dia mendapatkannya kembali unta itu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
PENUTUP

Sebagai hambaNya yang amat lemah adalah kita dituntut supaya sentiasa bertaubat di atas segala dosa yang pernah kita kerjakan. Contohilah Rasulullah S.A.W. yang sentiasa bertaubat kepada Allah Taala walaupun baginda seorang yang maksum. Jadi marilah kita memperbanyakkan taubat dengan taubat nasuha agar hati kita sentiasa suci bersih dari sebarang kekotoran dan kejahatan yang boleh menyebabkan hati menjadi lalai dari mengingatiNya.‘

Memberi dan Berbakti’Wallahualam.


Sumber: http://www.facebook.com/#!/profile.php?id=100000825731798 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

4 Ciri-ciri Orang Yang Berpandangan Jauh (Futuristik)

Aku Mahu Sihat